Friday, February 19, 2010

Isu bahasa pengantar dalam BI selesai?

Isu dasar penggunaan bahasa Inggeris (BI) dalam pengajaran Sains dan Matematik kembali menjadi hangat apabila media perdana, terutamanya Utusan Malaysia mendesak dihentikan gesaan Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon supaya kerajaan membenarkan pelajar sekolah rendah mempelajari mata pelajaran terbabit dalam bahasa ibunda masing-masing .

Pada 8 November 2005, Utusan Malaysia dalam muka depannya, telah menyiarkan rencana Saiful Haizan Hasam yang berjudul : Ingatan kepada Gerakan - Henti debat pengajaran Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris, di mana Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu, Datuk Dr. Mohd Radzi Abd. Latif telah dipetik sebagai "mengingatkan semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) agar tidak mengamalkan pemikiran politik songsang yang berasaskan agenda tersembunyi".

Ada pula pihak lain mendesak Gerakan menghentikan perdebatan mengenai dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam BI kerana kononnya ia tidak menunjukkan "semangat muafakat"BN.

Mereka meminta kerajaan tidak melayan permintaan Gerakan yang dianggap sebagai "satu tindakan yang melangkah ke belakang".

Di bawah tekanan yang dilancarkan Utusan Malaysia, Ketua Menteri Pulau Pinang itu terpaksa berganjak dan mengakuri isu tersebut akan dibincangkan "menerusi saluran dalaman parti", seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas isu tersebut.

Namun Utusan Malaysia masih tidak puas hati. Pada 9 November 2005, juga di muka depan, pembaca diapi-apikan dengan tajuk: Gerakan tidak berganjak - - Tsu Koon bertegas terus bangkit isu Sains, Matematik dalam BI.

Pada 11 November 2005, Tsu Koon terpaksa mengulangi lagi kerelaannya untuk berkompromi dengan menegaskan; “ oleh kerana salah faham dan salah tafsir di kalangan para pemimpin masyarakat tertentu, termasuk kawan-kawan rapat beliau dari parti-parti komponen Barisan Nasional, maka adalah lebih baik dan sesuai beliau membincangkannya secara terus melalui saluran dalaman kerajaan dan BN”.

Tidak berganjak

Sekaligus Gerakan mengumumkan parti itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lagi mengenai isu terbabit. Namun tajuk berita terbabit: "Saya tetap bangkit isu"(di muka 9 Utusan Malaysia), masih memberi gambaran Tsu Koon tetap berdegil dan tidak mahu berganjak.

Berlatar-belakangkan laporan-laporan yang dimanipulasikan seperti di atas, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat 'kenyataan habis'nya pada 10 November 2005: "Saya tidak akan layan isu polemik perkauman atau isu aliran persekolahan. Pendirian saya konsisten. Ini soal dasar yang tidak ada dolak-dalih lagi. Sudah, habis di sini."

Pendirian keras Hishammuddin disahut oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau membidas tindakan kepimpinan Gerakan dalam mempersoalkan keputusan kerajaan BN berhubung pelaksanaan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam BI sebagai tidak selaras dengan semangat BN.

Pada esoknya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menegaskan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam BI itu kekal, dan beliau mahu semua pihak yang membangkitkan isu itu supaya 'tutup mulut'.

Tepat pada ketika ini, tampillah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penggubal utama dasar bahasa pengantar BI, yang melabel pihak-pihak yang menentang dasar terbabit sebagai "didorong oleh cauvinisme perkauman!"

Dr. Mahathir juga membidas : "mereka yang menyatakan bahawa kita tidak boleh belajar mata pelajaran Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris adalah karut kerana bukan kita sahaja di dunia yang berbuat demikian".

Sebenarnya tiada sesiapa yang menyatakan bahawa kita tidak boleh belajar mata pelajaran Sains dan Matematik dengan bahasa pengantar BI, yang dipertikaikan hanya hakikat bahawa pelajar lebih selesa dan mudah memahami mata pelajaran tersebut melalui bahasa ibunda masing-masing.

Rasanya yang karut ialah mereka yang menafikan kelayakan bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah.

Tindakan karut

Mungkin mereka ini termasuk Dr. Mahathir tidak sedar pakar-pakar bahasa dan pendidikan seluruh dunia telah mengakui bahawa pengajaran/pembelajaran melalui bahasa ibunda adalah yang amat berkesan dan wajar sekali.

Tidak kurang karutnya juga jika peningkatan penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi sasaran, bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik pula yang ditukarkan.

Kenapa tidak dilakukan reformasi dalam kaedah pengajaran/pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris sahaja?

Adalah lebih karut lagi jika permintaan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik boleh disifatkan sebagai 'cauvinisme perkauman' dan bahasa asing dicadangkan mengambil alih peranan bahasa ibunda (termasuk bahasa Melayu/kebangsaan) untuk mencapai perpaduan nasional!

Pada zahirnya, isu bahasa pengantar BI sudah selesai, kerana Menteri Pelajaran telah mengeluarkan 'kenyataan habisnya' dan semua pihak terpaksa 'tutup mulut' bagi mematuhi arahan Perdana Menteri yang menegaskan dasar terbabit dikekalkan.

Namun, selain daripada tekanan dan penindasan secara terang-terangan dan kasar, dan prinsip BN yang mengongkong perdebatan demokratik secara telus dan terbuka oleh parti-parti komponennya, kerajaan sebenarnya gagal mengemukakan apa-apa alasan atau analisis yang dapat meyakinkan pihak-pihak yang menentang dasar terbabit.

Dalam keadaan demikian, sungguhpun perdebatan secara terbuka dasar bahasa pengantar BI telah dihentikan, namun isu terbabit sebenarnya masih belum selesai lagi!


No comments: